Breaking News
Home / Agama / Kelebihan Menyambut Maulid Nabi S.A.W

Kelebihan Menyambut Maulid Nabi S.A.W

maulidur-rasul-1

Disedut dari kitab I’anah al-Tolibin, terdapat beberapa kelebihan menya,but majlis maulid Nabi. Sekali pun kisah yang dipaparkan ini tidak boleh dijadikan dalil yang qot’ie tetapi ia berperanan sebagai merangsang individu muslim meraikan Maulid Nabi dalam usaha menambah kecintaan umat Islam kepada baginda s.a.w.

Kisah-kisah tersebut bukanlah rekaan semata-mata yang direka untuk kepentingan peribadi, tetapi kisah ini diselitkan juga oleh ulama’ yang lain di dalam kitab-kitab mereka sebagai sumber pengajaran yang boleh dimanfaatkan bersama.

Di dalam kitab I’anah al-Tolibin disebut bahawa pada zaman pemerintahan Khalifah Harun al-Rasyid, terdapat seorang pemuda di Basrah yang tidak elok perangainya. Oleh kerana perangainya yang buruk, maka penduduk Basrah memandang keji kepadanya. Tetapi, apabila masuk bulan Rabi’ul Awwal, maka pemuda tersebut membersihkan pakaiannya, memakai wangi-wangian dan pakaian yang cantik serta mengadakan kenduri kerana menyambut maulid Nabi.

Pada setiap tahun, apabila tiba bulan Rabi’ul Awwal ia akan melakukan sedemikian sehinggalah ke akhir hayatnya. Setelah ia meninggal dunia, maka penduduk Basrah mendengar satu suara yang berkata ” Pergilah wahai penduduk Basrah dan saksikanlah jenazah seorang wali dari kalangan wali Allah ini kerana ia merupakan seorang yang mulia di sisi-Ku,”. Maka penduduk Basrah pun pergi menziarahi jenazahnya dan mengkebumikannya.

Pada malamnya, mereka bermimpi melihat pemuda tersebut dipakaikan dengan pakaian sutera yang amat bernilai. Lalu beliau ditanya “Dengan apakah kamu mencapai kemuliaan ini?” Jawabnya ” Dengan membesarkan hari kelahiran Rasulullah saw.”

Diceritakan juga di dalam kitab I’anah bahawa pada zaman pemerintahan Khalifah Abdul Malik bin Marwan, terdapat seorang pemuda yang tampan di Syam (Syria) yang asyik menunggang kudanya.

Pada suatu hari, ketika sedang menunggang kudanya, tiba-tiba kuda tersebut menjadi liar dan tidak dapat dikawal sehinggalah ia memasuki ke dalam kawasan larangan menunggang kuda dan sampai di pintu rumah khalifah. Lalu kuda tersebut melanggar putera khalifah sehingga menyebabkan putera khalifah tersebut meninggal dunia.

Setelah berita kematian putera khalifah sampai kepadanya, maka pemuda tersebut diperintahkan mengadap. Ketika tentera khalifah pergi menangkapnya, tiba-tiba terlintas dihati lelaki tersebut untuk bernazar “Sekiranya Allah melepaskan aku daripada perkara yang buruk ini, nescaya aku akan mengadakan kenduri yang besar untuk menyambut hari keputeraan Rasulullah saw”.

Ketika pemuda tersebut sedang mengadap khalifah, tiba-tiba kemurkaan khalifah reda dan hilang, malah baginda tersenyum memandang pemuda tersebut. Maka khalifah pun berkata “Adakah kamu mempunyai ilmu sihir?”, Jawabnya “Demi Allah, tidak wahai Amir al-Mukminin. Maka khalifah berkata “Beta telah mengampunkan kamu, tetapi katakanlah kepada beta apakah yang telah kamu katakan tadi. Maka katanya “Aku telah berkata sekiranya Allah melepaskan aku dari peristiwa buruk ini, nescaya aku akan mengadakan kenduri menyambut Maulid Nabi s.a.w “. Maka khalifah pun berkata “Aku telah mengampunkan kamu dan ini wang sebanyak seribu dinar untuk kamu mengadakan akan kenduri maulid tersebut, dan kamu telah aku halalkan dari darah anakku.

Maka pemuda tersebut pun keluar. Ia telah dibebaskan daripada hukumannya dan diberikan dengan seribu dinar dengan keberkatan Nabi s.a.w.

Kegembiraan ilmuwan Islam meraikan Maulid Nabi s.a.w. juga banyak dipaparkan. Di antaranya Imam Hasan al-Basri pernah berkata,” Sekiranya aku mempunyai emas setinggi bukit Uhud, nescaya aku akan membelanjakannya untuk meraikan majlis membaca Maulidur Rasul s.a.w “.

Imam al-Junaid al-Baghdadi pernah berkata,” Sesiapa yang menghadiri majlis Maulidur Rasul s.a.w dan membesarkan kedudukan baginda, maka ia telah mencapai kejayaan iman “.

Imam Ma’ruf al-Karkhi berkata,” Sesiapa yang menyediakan makanan sempena Maulidur Rasul s.a.w, lalu mengundang orang ramai, menyalakan lampu-lampu, memakai pakaian yang baru, memakai wangi-wangian dan berhias-hias kerana membesarkan kelahiran Rasulullah s.a.w., maka akan dikumpulkannya oleh Allah s.w.t. pada hari kiamat bersama kumpulan pertama golongan para Nabi ia berada di syurga ‘Illiyyin (tinggi)”.

Imam al-Yafi’e berkata.” Sesiapa yang mengumpulkan orang ramai kerana menyambut Maulid Nabi s.a.w., menyediakan makanan, memberikan tempat, melakukan kebaikan untuk mengadakan majlis membaca kisah Maulidur Rasul s.a.w, akan dibangkitkan oleh Allah s.w.t. pada hari kiamat bersama ahli siddiqin, syuhada’ dan solihin dan berada di dalam syurga Na’im”.

Sirri al-Siqti berkata,” Sesiapa yang pergi ke suatu tempat untuk membaca kisah Maulid Nabi s.a.w. maka sesungguhnya ia telah pergi ke sebuah taman dari taman-taman syurga kerana tidaklah ia menuju ke tempat-tempat tersebut melainkan lantaran kerana kasih kepada Rasulullah s.a.w.,”.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,” Sesiapa yang mengasihiku maka ia bersamaku di dalam syurga,”.

Telah berkata Sultan Ahli ‘Arifin Jalaluddin al-Suyuti di dalam kitabnya,” Tidak ada suatu rumah atau masjid atau tempat yang dibacakan di dalamnya mengenai Maulid Nabi s.a.w. melainkan malaikat mengelilingi ahli tempat tersebut dan Allah menebarkan rahmatNya kepada mereka”.

Katanya lagi,” Tidak ada seorang muslim yang dibacakan di dalam rumahnya Maulid Nabi s.a.w. melainkan Allah mengangkat kemarau, waba’, kebakaran, bala, hasad dengki dan dijauhkan pencuri dari ahli rumah tersebut. Maka apabila ia mati, Allah akan mempermudahkan baginya menjawab soalan Munkar dan Nakir,”.

Di dalam kitab al-Kawakib al-Durriyyah diriwayatkan bahawa di Basrah terdapat seorang lelaki yang mengadakan majlis Maulid Nabi pada setiap tahun. Berdekatan dengan rumahnya hidup sebuah keluarga Yahudi.

Pada suatu hari, isteri Yahudi tersebut bertanya kepada suaminya “Apakah halnya dengan jiran muslim kita itu, setiap tahun ia akan membelanjakan wang yang banyak sepertimana yang dibelanjakannya pada bulan ini?” Maka kata suaminya “Mereka percaya bahawa pada bulan ini nabi mereka dilahirkan”.

Sedang mereka tidur pada malamnya, isterinya bermimpi melihat seorang lelaki yang cukup hebat, penuh kebesaran, kehormatan dan cahaya. Ia berada di antara sahabat-sahabatnya yang mengelilinginya seolah-olah lelaki tersebut seperti bulan. Maka perempuan tersebut berkata kepada salah seorang dari sahabat-sahabat tersebut, “Siapakah orang yang mempunyai cahaya yang memancar-mancar ini?” Mereka menjawab,”Dia adalah seorang nabi berbangsa Arab yang dipilih oleh Allah”. Perempuan itu bertanya lagi,”Adakah ia akan bercakap denganku apabila aku bercakap dengannya?” Mereka berkata,”Dia bukanlah seorang yang sombong atau meninggikan diri”. Lalu perempuan itu berkata,”Wahai Muhammad s.a.w!”

Maka Rasulullah s.a.w menjawab dengan senyuman yang manis,”Labbaik (Ya, aku menyahut seruanmu)”. Maka perempuan itupun berkata,”Kamu menjawab panggilan orang sepertiku ini dengan ‘labbaik’ sedangkan aku bukannya berada di atas agama kamu”. Maka Rasulullah saw pun berkata, “Tidaklah aku berkata kepadamu seperti sebentar tadi melainkan setelah aku mengetahui bahawa sesungguhnya Allah telah memberikan petunjukNya kepada kamu. Maka perempuan itu berkata,”Sesungguhnya kamu adalah nabi yang mulia dan kamu mempunyai akhlak yang mulia. Hulurkanlah tanganmu, maka aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa engkau Muhammad adalah pesuruh Allah”.

Kemudian perempuan tersebut bernazar, apabila siang menjelang, ia akan mensedekahkan segala harta yang dimilikinya kerana merasa gembira di atas keislamannya dan akan dibelanjakannya untuk meraikan Maulid Nabi s.a.w.

Apabila bangun dari tidur, ia mendapati suaminya telah bersedia untuk mengadakan kenduri dan pada pagi itu suaminya kelihatan begitu berhemah tinggi. Maka ia pun berkata kepada suaminya,”Aku melihat kamu berada di dalam keazaman yang cukup baik”. Maka suaminya berkata,”Ini adalah kerana orang yang kamu masuk Islam ditangannya semalam”. Kata isterinya, “Siapakah yang telah membukakan bagimu akan rahsia ini dan memberitahumu?” Jawabnya “Orang yang telah mengislamkan aku dengan tangannya selepas mengislamkan kamu semalam”.

Comments

comments

About muhdarifaiman

muhdarifaiman
Muhammad Arif Aiman bin Mustafa mula mendapat pendidikan agama awal bersama ayahnya yang juga merupakan seorang guru agama. Kemudian bertalaqi dengan beberapa orang guru di sekitar Terengganu, Kelantan dan Kedah. Mendapat ijazah sanad pengubatan Islam yang pertama daripada anak murid Syeikhuna Wahid Abdus Salam Bali, dan ijazah sanad kedua daripada Tuan Guru Dato' Dr. Haron bin Din. Dan beberapa ijazah umum daripada guru-guru saya yang mulia. Mula bergiat aktif dalam dunia pengubatan Islam pada tahun 2010 dan kini menjalankan pengubatan Islam separuh masa dan pendakwah bebas sepenuh masa.

Check Also

kematian-copy

Mengingati Mati Satu Kewajipan Bagi Orang Beriman

Tidak seorangpun yang sudi digolongkan sebagai orang yang jahil atau bebal, sebaliknya masing-masing ingin dipandang ...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE