Breaking News
Home / Agama / Sa’ad As-Sulami Pengantin Syurga

Sa’ad As-Sulami Pengantin Syurga

Kisah yang diriwayatkan dari Abul Laits As-Samarqandi dengan sanadnya dari Anas r.a berkata telah datang seorang pemuda kepada Nabi s.a.w dan berkata, “Ya Rasulullah, apakah akan aku terhalang untuk masuk ke syurga kerana hitam kulitku dan hodoh mukaku?”

Nabi s.a.w menjawab, Tidak, demi Allah yang jiwaku di tangan-Nya selama engkau yakin pada Tuhanmu dan percaya pada ajaran Rasul-Nya.

pasukan berkuda

Berkata Saad AsSulami, “Demi Allah yang telah memuliakan engkau dengan kenabian, aku telah percaya (bersyahadat) sebelum kedatangan engkau ke sini. Dan aku telah meminang kepada orang di sekitarmu ini dan semuanya menolak aku kerana hitam kulitku dan buruk wajahku.”

Lalu Nabi s.a.w bersabda, “Apakah engkau mengetahui seorang bernama Amr bin Wahb dari suku Tsaqif yang telah lama memeluk Islam? Jawabnya, “Iya.”

Nabi s.a.w berkata lagi, “Pergilah dan ketuklah pintunya perlahan-lahan, kemudian memberi salam padanya. Dan bila telah masuk katakan kepadanya bahawa Rasulullah s.a.w telah mengahwinkan aku dengan puterimu.”

Amr bin Wahb mempunyai seorang puteri cantik dan cerdik yang bernama Atiqah. Maka pada mulanya Saad AsSulami di sambut dengan baik tetapi kerana hitam dan mukanya hodoh maka mereka tidak senang lagi kepadanya bahkan setelah dia menyampaikan apa yang disuruh oleh Nabi s.a.w “aku telah dikahwinkan oleh Nabi s.a.w dengan puterimu” segera mereka tolak dengan cara yang kasar sekali sehingga segera dia keluar dan pergi kembali bertemu dengan Rasulullah s.a.w.”

Akan tetapi, puteri Amr bin Wahb berkata kepada ayahnya yang telah menolak pinangan Saad AsSulami itu supaya memohon taubat kepada Allah s.w.t. Berkata puterinya, “maka jika benar Rasulullah s.a.w telah mengahwinkan aku dengannya maka aku redha pada apa yang diredhakan Allah dan Rasulullah padaku”.

Maka pergilah ayah itu kepada Rasulullah s.a.w dan ketika bertemu dengan baginda langsung Nabi s.a.w menegurnya, “Kamu yang telah menolak pinanganku?

Jawabnya, “Benar, tetapi aku minta ampun pada Allah kerana aku menyangka bahawa dia telah berdusta kepadaku. Adapun apabila dia berkata benar, maka akan aku kahwinkan dia dan kami berlindung jangan sampai terkena murka Allah dan Rasulullah s.a.w.”

Maka dikahwinkan Saad AsSulami dengan puteri Amr bin Wahb yang bernama Atiqah itu dengan mahar sebanyak empat ratus dirham. Ketika Rasulullah s.a.w menyuruh Saad AsSulami untuk masuk meminang puteri Amr bin Wahb, dia berkata, “Ya Rasulullah, demi Allah yang mengutusmu sebagai nabi, aku tidak mempunyai apa-apa apatah lagi ingin menyediakan wang hantaran sebanyak empat ratus dirham.”

Maka Rasulullah s.a.w bersabda, “Mahar untuk isterimu akan di tanggung oleh tiga orang dan kaum mukminin. Pergilah kepada Uthman bin Affan r.a. terimalah daripadanya dua ratus dirham, kemudian disuruhnya pergi kepada Abdul Rahman bin Auf r.a dan terimalah daripadanya dua ratus dirham dan setelah itu disuruhnya pergi kepada Saidina Ali Karamallahu Wajhah untuk menerima dua ratus dirham.”

Kemudian dia pergi ke pasar untuk membeli oleh-oleh(hadiah) untuk bakal isterinya namun tiba-tiba dia terdengar suara seruan : ” Hai kuda Allah, berkenderaanlah”.

Semasa Saad AsSulami ingin membelikan oleh-oleh buat bakal isterinya, dia terdengar seruan Rasulullah s.a.w, “Keluarlah untuk berjihad, keluarlah untuk jihad”. Maka dia melihat ke langit dan berdoa, “Ya Allah, Tuhan pencipta langit dan bumi, Tuhannya Muhammad s.a.w, aku akan mempergunakan wang ini pada sesuatu yang lebih disukai oleh Allah dan Rasulullah dan kepentingan kaum mukiminin. “

Lalu wang hantaran untuk melamar puteri Amr bin Wahb digunakan untuk membeli kuda, pedang, tombak dan perisai, lalu Saad AsSulami mempererat ikatan serbannya dan ikat pinggangnya serta memakai topi baja, sehingga hampir tidak terlihat kecuali bulat matanya. Lalu dia berdiri tegak di tengah-tengah barisan Muhajirin, sehingga mereka yang lainnya tertanya-tanya siapakah pengendara kuda yang belum kami kenal itu?

Saiyidina Ali r.a berkata, “Biarkan, kemungkinan dia dari Bahrain atau dari Syam, dia datang untuk menanyakan ajaran-ajaran agama, kerana itu dia kini ingin mengorbankan diri untuk keselamatanmu.”

Kemudian Saad AsSulami maju ke barisan musuh dengan menggunakan pedang dan memenggal orang-orang kafir, sehingga tidak kuat kudanya dan dia terpaksa turun dari kuda sambil menyingsing lengannya. Ketika Rasulullah s.a.w dapat melihat hitam lengannya langsung baginda mengenalinya dan dipanggil,

“Apakah kamu Saad?

Jawabnya, “Ya, benar.”

Nabi s.a.w bersabda, “Untung nasibmu.”

Dan terus dia menikam dengan tombak dan membunuh dengan pedangnya, sehingga jatuh gugur mati syahid. Maka Rasulullah s.a.w menuju kepadanya lalu diangkat kepalanya dan diletakkan di pangkuan Nabi s.a.w sambil diusap-usap tanah yang melekat di mukanya dan bersabda, “Alangkah harum baumu, alangkah kasihnya Allah dan Rasulullah kepadamu.”

Kemudian Nabi s.a.w menangis lalu tertawa, lalu memalingkan mukanya dan bersabda, “Kini dia telah sampai di haudh (telaga), demi Tuhan yang mempunyai Kaabah. Abu Lubabah bertanya, “Ya Rasulullah, apakah haudh?” Jawab Nabi s.a.w , “Telaga yang diberikan Allah kepadaku, lebarnya antara Yaman hingga Bushra, tepinya berhias dengan permata dan mutiara, airnya lebih putih dari susu dan rasanya lebih manis dari madu. Siapa yang minum satu kali daripadanya tidak akan haus untuk selamanya.”

Lalu ditanya, “Ya Rasulullah, mengapakah engkau menangis lalu tertawa kemudian berpaling muka daripadanya. Jawab Nabi s.a.w, “Tangisku kerana rinduku kepada Saad, adapun tawaku kerana gembira melihat kemuliaan yang diberikan padanya oleh Allah dan adapun aku berpaling muka kerana melihat bakal isteri-isterinya dan bidadari berebut mendekatinya sehingga terbuka betis mereka, maka segera aku berpaling muka kerana malu. Kemudian Nabi s.a.w menyuruh mengumpulkan pedang, tombak dan kudanya untuk diserahkan kepada calon isterinya sambil diberitahu, “Bahawa Allah telah mengahwinkan Saad AsSulami pada bidadari yang lebih cantik dari puterimu.”

Itulah kisah seorang pemuda yang berkulit hitam bernama Saad AsSulami ketika di zaman Rasulullah s.a.w.

Kepada rakan pembaca, jadikanlah kisah ini sebagai tauladan kepada kita kerana saya rasa dengan kisah ini kita dapat muhasabah diri kita sendiri, hisab diri kita sendiri sejauh mana telah kita korbankan wang, tenaga, masa bahkan diri kita sendiri untuk agama Allah.

Pengorbanan kita tidak di ukur dengan rupa paras kita sama ada lawa ataupun tidak, cantik ataupun hodoh, banyak ataupun sedikit tetapi pengorbanan kita diukur berdasarkan keikhlasan kita untuk berkorban semata-mata kerana Allah.

Bukan saya kata kita perlu berkorban sepertimana para sahabat-sahabat terdahulu, perlu mengangkat senjata menentang musuh-musuh Allah. Cuma pengorbanan kita perlu dimulakan pada diri sendiri. Pengorbanan dalam melawan dua musuh utama kita, nafsu dan godaan syaitan itu yang perlu terlebih dahulu. Maka berjayalah orang-orang yang dapat menumpaskan kedua-duanya. Insya-allah.

Comments

comments

About muhdarifaiman

muhdarifaiman
Muhammad Arif Aiman bin Mustafa mula mendapat pendidikan agama awal bersama ayahnya yang juga merupakan seorang guru agama. Kemudian bertalaqi dengan beberapa orang guru di sekitar Terengganu, Kelantan dan Kedah. Mendapat ijazah sanad pengubatan Islam yang pertama daripada anak murid Syeikhuna Wahid Abdus Salam Bali, dan ijazah sanad kedua daripada Tuan Guru Dato' Dr. Haron bin Din. Dan beberapa ijazah umum daripada guru-guru saya yang mulia. Mula bergiat aktif dalam dunia pengubatan Islam pada tahun 2010 dan kini menjalankan pengubatan Islam separuh masa dan pendakwah bebas sepenuh masa.

Check Also

Dunia Penjara

Dunia Penjara Bagi Orang Beriman

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  ...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE