Breaking News
Home / Pengubatan Islam / Pengenalan Santau

Pengenalan Santau

1-6

Apakah Santau?

Santau (atau dalam bahasa Indonesia disebut ‘Santet’); ialah sejenis sihir yang melibatkan penggunaan ramuan santau (beracun) tertentu yang didampingi oleh jin dan syaiton. Dalam kebanyakan kes, santau yang dikenakan ke atas mangsa akan membunuh secara perlahan-lahan; di mana mangsa akan menderita kesakitan fizikal yang kronik seperti batuk berpanjangan, sakit kepala, kerosakan organ jantung, paru-paru, perut, usus, buah pinggang, hati, hempedu, juga gangguan emosi dan/atau sebagainya; dalam tempoh masa yang panjang (berbulan-bulan ke bertahun-tahun) sebelum menemui ajal.

Santau juga kadangkala ‘dilepaskan’ secara terbuka dan boleh terkena sesiapa sahaja; atas kehendak amalan sihir berkenaan.

Bahan – bahan Santau

Ada tiga jenis bahan utama yang selalu digunakan untuk menyediakan racun santau. Bahan-bahan ini terdiri dari benda-benda gatal (miang), bisa dan pedih.

  1. Bahan Bisa boleh diperoleh daripada bahan untuk membuat racun seperti air lipan bara, bisa ular senduk, bisa ular kapak, bisa katak puyu, ubur-ubur, bisa getah ipuh, buah kacang hantu, bisa akar-akar kayu dan sebagainya.
  2. Bahan Miang/Gatal diantaranya ialah sepertu miang sembilu buluh, miang tebu, miang rebung, tali guni, ulat bulu yang masih hidup. Mangsa yang terkena santau ini selalunya akan merasa gatal di tekak, manakala badannya terasa bisa.
  3. Bahan Pedih (melukakan) yang menyebabkan mangsa merasa pedih apabila terkena santau. Bahan tersebut adalah kaca, mentol lampu, rambut, benang sutera, tali sabut, kuku manusia atau binatang, kelongsong telur ayam, bahan-bahan kotor daripada binatang yang telah mati seperti kulit lipas, lipan dan sebagainya.

Dalam pengalaman penulis mengubati pesakit racun santau, penulis telah bertemu dengan pesakit yang disantau dengan menggunakan bahan-bahan lain seperti bangkai tikus dan juga tuala wanita (sanitary pad) yang telah digunakan.

Santau hikmat atau lebih dikenali sebagai ‘santau angin’ atau ‘santau seru’, santau ini akan dihantar kepada mangsanya dengan menggunakan perhidmatan syaitan atau jin. Santau angin boleh dihantar ke rumah atau ke tempat kediaman menyebabkan ahli atau sebahagian mereka yang mendiami rumah tersebut terkena santau.

 Jenis-jenis atau Punca Penyakit

Santau ialah sejenis sihir iaitu racun yang diberi kepada mangsa melalui zahir atau melalui angin iaitu melalui pemujaan syaitan atau jin. Mangsa yang kena santau selalu dibinasakan dengan perlahan-lahan sama ada supaya dia menderita berpanjangan yang berakir dengan kematian, atau pun menemui ajalnya dalam jangka masa tertentu.

Ada 2 jenis santau:

  1. Santai yang disediakan dan diberi makan kepada mangsa secara hakikat atau zahir. Kesan santau ini semata-mata bergantung kepada kekuatan dan keberkesanan bahan racun santau yang diadunkan. Walau bagaimanapun bahan itu mudah keluar melalui saluran najis seperti proses makanan biasa.
  2. Santau yang disediakan daripada bahan dan kaedah tertentu yang menggunakan hikmat. Istilah hikmat di sini bermaksud santau yang dibuat disertai pemujaan syaitan dan jin. Santau jenis ini tidak mudah keluar melalui saluran najis. Ia akan kekal dalam badan selagi tidak dikeluarkan dengan cara tertentu. Mangsa santau walaupun telah diubati tetapi saki baki santau yang tinggal dalam badan akan membiak dan boleh menyebabkan mangsa berkenaan sakit semula.

 Tanda-tanda Santau

Sintom Tanda-tanda awal seseorang itu terkena santau ialah rasa perit dan gatal pada tekak yang disertai dengan batuk. Batuk merupakan tanda yang paling lumrah bagi mereka yang terkena santau.

Pada peringkat awal batuk disertai dengan pening kepala dan deman pagi dan petang. Batuk ini berlainan seperti batuk biasa. Ia merupakan batuk kering yang memanjang tanpa mengeluarkan kahak. Pesakit akan batuk pada masa-masa tertentu sahaja seperti antara pada pukul 12 tengah malam hingga 5 pagi. Pesakit juga akan merasa lesu dan deman, tidak boleh tidur malam, rasa gelisah, dan tidak berupaya berfikir seperti biasa.

Kadangkala mangsa akan muntah darah. Darah yang keluar adalah akibat luka atau kerosakan mana-mana organ dalam badan dan akibat terkena bisa santau atau bahan-bahan yang melukakan. Apabila batuk sampai ketahap serius, pesakit akan muntah darah bercampur dengan nanah. Pesakit kadang-kadang akan berasa seolah-olah ada rasa busuk keluar dari saluran tekaknya. Ini terjadi akibat luka yang telah menanah dari mana-mana organ dalam badan.

Sintom atau kesan yang lain termasuk:

  1. Pesakit akan berasa lenguh sendi terutama di bahagian lutut dan pinggang.
  2. Berasa tidak selesa dan sering sakit kepala.
  3. Kurang selera makan menyebabkan badan kurus, pucat, letih dan kurang aktif.
  4. Kurang daya ingatan.
  5. Berubat tabiat asal menjadi pemarah atau panas baran.
  6. Sakit di bahagian tengkuk.
  7. Kesan lelah atau asthma.

Bahan-bahan racun santau ini akan bergerak sedikit demi sedikit menurut pergerakan darah dan berhenti di sendi-sendi. Kemudian ia akan terus bergerak ke hujung kaki dan tangan. Sekiranya kuku seseorang itu berwarnia hitam kebiru-biruan, ini menandakan pesakit itu sudah sampai ke peringkat yang teruk. Ketika ini pesakit selalu berasa kebas di kaki dan tangan.

Bahan santau yang diperbuat daripada bahan gatal, miang dan bisa itu apabila terkena pada organ-organ tertentu boleh menyebabkan bahagian-bahagian tersebut luka dan berkudis. Kuman-kuman yang ada pada kudis itu akan terus menyerang anggota badan lain sedikit demi sedikit. Kuman-kuman ini mungkin menyerang paru-paru, buah pinggang, dan anggota yang lain. Serangan pada bahagian ini menyebabkan pesakit mendapat sakit sampingan seperti lelah, sakit buah pinggang, hati (liver) dan sebagainya.

Bagaimana Mengetahui Diri Terkena Santau?

Ada satu kaedah yang praktikal dan mudah untuk dibuat oleh sesiapa sahaja bagi mengetahui apakah dirinya terkena santau atau tidak. Iaitulah dengan menggunakan limau nipis. Ramuan santau termasuk jin yang ada bersamanya sangat sensitif dengan buah limau nipis.

Dalam proses menguji diri samada terkena sihir atau sebaliknya, pesakit boleh mencuba cara ini yang ringkas dan amat berkesan. Kaedah ini boleh dilakukan sendiri atau dibantu oleh orang lain kepada pesakit. Bila ia dapat dikesan dari awal, inshaaAllah proses rawatannya dapat dilakukan segera. Jika terlewat maka rawatan menjadi lebih rumit kerana kesannya telah tersebar ke seluruh tubuh.

Kaedah Mengesan Santau (Mudah & Praktikal)

Ambil sebiji limau nipis, belah dan kemudian perahkan sedikit air limau tersebut beberapa titik ke dalam mulut sebelum tidur pada waktu malam. InshaaAllah bila cara yang ringkas dan praktikal ini dilakukan, pesakit dapat rasakan sesuatu yang luar dari biasa jika anda diserang santau. Tindakbalas yang berlaku menunjukkan kehadiran santau dalam tubuh.

Antara tindakbalas selepas mencuba kaedah ini, mereka yang terkena santau akan mengalami sesah nafas, sakit dada, bermimpi sesuatu yang menakutkan, tidak dapat tidur malam dan tersedar atau terkejut dari tidur.

Bila tanda-tanda ini berlaku ia menunjukkan kemungkinan diserang santau adalah tinggi. Sebaliknya jika melalui kaedah ini tidak ada kesan-kesan sepertimana yang disebutkan tersebut, ia menunjukkan penyakit yang di alami tidak ada kaitannya dengan santau, mungkin penyakit lain.

Walau demikian, kaedah ini hanyalah satu usaha ringkas mengesan samada pesakit diserang santau atau sebaliknya. Sebaiknya bawa pesakit bertemu mereka yang lebih pakar dan berpengalaman untuk mengesan dan mendapatkan nasihat serta rawatan jika perlu. Untuk pengetahuan, tak semua perawat melibatkan diri secara khusus dalam rawatan santau. Pastikan bertemu dan merujuk kepada mereka yang betul-betul pakar agar rawatan boleh dilakukan jika didapati postif. Kesilapan rawatan atau kelewatan menjalankan rawatan penyembuhan boleh menyebabkan kesan kepada pesakit lebih parah.

Comments

comments

About muhdarifaiman

muhdarifaiman
Muhammad Arif Aiman bin Mustafa mula mendapat pendidikan agama awal bersama ayahnya yang juga merupakan seorang guru agama. Kemudian bertalaqi dengan beberapa orang guru di sekitar Terengganu, Kelantan dan Kedah. Mendapat ijazah sanad pengubatan Islam yang pertama daripada anak murid Syeikhuna Wahid Abdus Salam Bali, dan ijazah sanad kedua daripada Tuan Guru Dato' Dr. Haron bin Din. Dan beberapa ijazah umum daripada guru-guru saya yang mulia. Mula bergiat aktif dalam dunia pengubatan Islam pada tahun 2010 dan kini menjalankan pengubatan Islam separuh masa dan pendakwah bebas sepenuh masa.

Check Also

image001

Pengubatan Santau

Cara Pengubatan Santau Racun santau ini hendak dikeluarkan (dengan keizinan Allah s.w.t.) Pesakit perlu berjumpa ...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE