Monday , September 1 2014
Breaking News
Home / Agama / Tatkala Istikharah Mengharap Petanda

Tatkala Istikharah Mengharap Petanda

APA ITU ISTIKARAH?

Istikarah dalam erti kata yang mudah adalah memohon dan meminta yang terbaik daripada Allah taala dalam bab kebaikkan. Adapun jika sudah terang lagi bersuluh yang tidak elok, tidak perlu dilakukan istikarah. Seperti calon suami itu sudah diyakini tidak solat 5 waktu. Maka pada ketika itu, tiada lagi istikarah dibuat kerana telah meyakini itu adalah sesuatu yang buruk, sedang istikarah itu adalah sesuatu yang kita pohon dari Allah yang baik-baik, dan antaranya ada 2 pilihan pada kita untuk memilih. Seperti kedua-dua calon suami yang kita ada sekarang, adalah baik-baik semuanya. Masing-masing ada kelebihan dan keburukkan, maka ketika itu istikarah dilakukan untuk memohon dari Allah taala petunjuk yang terbaik untuk kita. Dan semoga Allah kuatkan lagi hati kita untuk itu.

Sabda Nabi Muhammad saw

“Apabila sesiapa daripada kalangan kamu diberatkan oleh sesuatu maka hendaklah dia Rukuk dengan dua Rukuk (mengerjakan Solat dua rakaat) yang selain daripada Solat yang Fardhu (yakni mengerjakan Solat dua Rakaat dengan niat Istikharah).”

Istikharah diajar oleh Rasulullah adalah sebagai meminta petunjuk daripada Allah taala dengan pilihan yang terbaik dalam setiap pekerjaan yang ingin kita lakukan. Sesungguhnya Allah taala adalah tempat kita mengadu dan memohon. Ianya adalah sebagai satu jalan terbaik untuk menentukan pilihan dan ikhtiar makhluk agar sentiasa dipandu dengan petunjuk dan hidayah Allah taala.

Bahkan Imam ibn Hajar ada menyebutkan dalam kitabnya Fathul Bari bahawa Al-Imam Hafiz Abdul Rauf al-Munawi berkata,

“Istkharah adalah meminta yang terbaik daripada Allah taala pada sesuatu perkara yang ingin dilakukan, hakikatnya adalah kita menyerahkan ikhtiar dan usaha kita hanya kepada Allah taala, ini adalah kerana hanya Dialah sahaja yang mengetahui yang terbaik kepada setiap hamba-nya, dan Dialah penentu keatas apa sahaja yang terbaik sebagai pilihan kepada hamba-Nya”.

 

CARA MELAKSANAKAN ISTIKARAH

Solat istikharah lebih kurang sama dengan solat subuh, Hanya niatnya saja yang berlainan, iaitu berniat solat istikharah.. Sangat baik dilakukan sesudah lewat tengah malam disaat sunyi, supaya hati lebih khusyuk dalam mengemukakan permohonan kepada Allah. Solat ini sangat peribadi sifatnya. Sebab itu harus dikerjakan sendirian. Tidak perlu azan atau iqamah sebelum melaksanakannya.

Cara pelaksaana adalah mudah dan ringkas.

1) Niat “sahaja aku solat sunat istikarah 2 rakaat kerana Allah taala.”

2) Rakaat pertama dibaca surah al Fatihah dan diikuti dengan surah al Kafirun.

3) Rakaat kedua pula dibaca al Fatihah dan surah al Ikhlas

Ada yang bertanya kenapa dua surah ini yang diberi keutamaan? Kenapa surah ini yang selalu diajar oleh ustaz-ustaz untuk dibaca dalam solat sunat hajat, taubat dan juga istikarah?

Jawabnya iaitulah kedua-dua surah ini adalah surah yang menunjukkan dan menyatakan keEsaan Allah taala. Surah yang menceritakan ketauhidan pada Allah. Maka ulamak berkata surah yang paling disukai Allah adalah surah yang mentauhidkan Dia. (wallahualam)

DOA SELEPAS SOLAT

Sebelum menadah tangan, eloklah dimulakan dengan lafaz zikir pada Allah. Memuji dan membesarkan-Nya. Rayulah pada Allah dalam pujian itu. Dan berdoalah seperti mana yang diajarkan oleh Rasulullah saw. Dan jika tidak pandai baca dalam bahasa arab, jangan disusahkan. Baca sahaja maksud erti doa tersebut dalam bahasa melayu itu pun sudah memadai. Atau berdoalah dengan apa jua doa yang baik-baik! Sesungguhnya Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui.

Ertinya:

“Ya Allah, aku memohon petunjuk memilih yang baik dalam pengetahuanMu, aku mohon ditakdirkan yang baik dengan kudratMu, aku mengharapkan kurniaMu yang besar. Engkau Maha Kuasa dan aku adalah hambaMu yang dhaif. Engkau Maha Tahu dan aku adalah hambaMu yang jahil. Engkau Maha Mengetahui semua yang ghaib dan yang tersembunyi.

Ya Allah, jika hal ini dalam pengetahuanMu adalah baik bagiku, baik pada agamaku, baik pada kehidupanku sekarang dan masa datang, takdirkanlah dan mudahkanlah bagiku kemudian berilah aku berkah daripadanya.

Tetapi jika dalam ilmuMu hal ini akan membawa bencana bagiku dan bagi agamaku, membawa akibat dalam kehidupanku baik yang sekarang ataupun pada masa akan datang, jauhkanlah ia daripadaku dan jauhkanlah aku daripadanya. Semoga Engkau takdirkan aku pada yang baik, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas setiap sesuatu.”

Dengan mengharapkan agar ditunjukkan Allah untuk mendapatkan pilihan yang terbaik. Jika keraguan masih mempengaruhi fikiran untuk menentukan pilihan, ulangilah solat istikharah dan membaca doanya, walaupun pengulangan sampai 7 kali berturut-turut. Selepas itu, bertawakkal kepada Allah, pilihlah salah satu daripadanya, ambillah yang mana arah ‘hati’ lebih cenderung setelah berdoa. Jangan menimbulkan lagi keraguan, yakinlah bahawa itu adalah pilihan terbaik dari yang Maha Kuasa.

Jangan merasa kecewa andai ternyata dalam keputusan yang dipilih menimbulkan keinginan yang tidak disukai. Ingatlah bahawa ini adalah yang telah digariskan pada azali yang tidak dapat dielakkan, besar kemungkinan mengandungi hikmah, membawa kebaikan dimasa akan datang, hendaklah tetap mempunyai husnuz-zan kepada Allah.

Imam Nawawi dalam kitabnya al-Azkaar berkata,

“Maka hendaklah dia memilih perkara yang dia merasa lapang dadanya pada perkara tersebut”.

Semoga Tuhan memberikan jawapan itu pada hati kita untuk merasa.

ISTIKARAH MEMOHON KEREDHANNYA

Setelah Solat Istikharah dilakukan, kita berharap keyakinan untuk melakukan keputusan tanpa perlu menanti petanda dariNya. Apa yang terjadi selepas itu pasti ada hikmah, samada berbentuk nikmat atau ujian. Bersangka baik sesuatu pilihan, selagi pilihan itu berada di jalanNya, dengan berlandaskan iman, bukan nafsu yang membuak-buak.

Imam Nawawi menyebut di dalam kitabnya al Azkaar, ” Maka hendaklah dia memilih perkara yang dia merasa lapang dadanya pada perkara tersebut.”

Apa sahaja pilihan yang dibuat, redha dengan ketentuannya. Kerana ketentuan itu adalah petunjuk dariNya juga. Firman Allah “..Mungkin kamu benci pada sesuatu, sedangkan ia lebih baik bagimu, mungkin juga kamu cintai sesuatu, sedangkan ia mudarat bagimu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak” (Al-Baqarah : 216)

AKHIR KALAM

Allah taala adalah tempat kita mengadu. Dialah segala-galanya. Andainya kita sebagai muslim dan muslimat yang benar-benar beriman kepada-Nya maka Dialah Allah sebagai tempat kita menyerahkan segala urusan dan tindakan samada besar atau kecil, penting atau tidak sesuatu perkara tersebut. Kerana disitulah kita dapat melihat adakah disana terdapat pergantungan hati seorang hamba dengan Tuhannya ataupun tidak. Kerana hanya Allah taala sahaja yang terbaik untuk menentukan hala tuju kita dalam melakukan sesuatu perkara sedangkan kita tidak mengerti apakah hikmah dan rahsia terhadap setiap perkara yang kita kerjakan.

Wallahualam.

Comments

comments

About muhdarifaiman

muhdarifaiman
Muhammad Arif Aiman bin Mustafa mula mendapat pendidikan agama awal bersama ayahnya yang juga merupakan seorang guru agama. Kemudian mula kembara mencari ilmu agama sekitar negeri Terengganu, Kelantan dan Kedah. Mendapat sanad perubatan Islam pada tahun 2011, dan sekarang merupakan pengamal perubatan Islam separuh masa.

One comment

  1. mujahidah solehah

    assalamualaikum w.b.t
    sekadar perkongsian…
    sy pernah dengar tentang solat sunat istikharah ni drpd PROF MUHAYA…
    “ISTIKARAH kalau boleh buat tiap2 hari…
    sebab hidup kita tiap2 hari kne wt pilihan…”
    contohnya…:
    nk ke kolej,ad byk jalan….kte nk ikut jalan yg mana?
    g library, nk pnjam buku ACCOUNTING…ad 2 buku time 2,nk pilih yg mana?
    g kafe, ad byk makanan yg kita suka…nk pilih yg mana?
    so, we have to decide rite?
    solat istikharah akan memudahkn kerja kita…
    INSYAALLAH…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge